
PONTIAN 18 Julai - Utusan Malaysia dengan kerjasama Pusat Sumber Sekolah Kebangsaan Tengku Mahmood Iskandar 1 di sini melancarkan pondok bacaan di sekolah berkenaan baru-baru ini.
Selain akhbar Utusan Malaysia bersama sisipan akhbar berkenaan seperti ADaP, Utusan Melayu Mingguan Jawi dan Estidotmy, pondok tersebut turut menyediakan pelbagai jenis bahan bacaan keluaran Kumpulan Utusan.
Guru besar sekolah berkenaan, Saniah Mohd. Khalid berkata, pondok bacaan tersebut selain menjadi alternatif kepada perpustakaan sekolah sedia ada, turut bertujuan untuk menanam sikap rajin membaca di kalangan murid.
Beliau berkata, banyak manfaat boleh diperoleh oleh para pelajar terutamanya sisipan ADaP yang boleh dijadikan bahan rujukan dan latihan kepada murid.
"Dengan adanya pondok bacaan ini, murid-murid dapat mengisi masa lapang dengan membaca sebanyak mungkin bahan ilmiah yang disediakan.
"Kita berharap dengan adanya pondok bacaan ini dapat memberikan kesan positif terutamanya kepada mutu pembelajaran murid-murid," katanya kepada Utusan Malaysia selepas majlis pelancaran pondok bacaan tersebut di sini.
Turut hadir, Penolong Pengurus Pemasaran Wilayah Selatan, Tengku Izaham Tengku Adnan dan Eksekutif Kanan Pemasaran Utusan Melayu (Malaysia) Berhad Zon Selatan, Mohd. Asri Jantan.
Tengku Izaham berkata, sekolah tersebut dipilih memandangkan ia merupakan pelanggan tetap akhbar Utusan Malaysia sejak dahulu.
Katanya, bagi memastikan pondok bacaan tersebut sentiasa dipenuhi dengan bahan bacaan, Kumpulan Utusan akan memberikan bahan bacaan terbaru bagi setiap tiga bulan sekali.
Seorang pelajar, Norazmirah Sarli, 11, berkata, bahan bacaan yang disediakan di pondok bacaan itu amat bermutu terutamanya sisipan ADaP dan Estidotmy yang banyak dijadikan sebagai bahan rujukan.
"Jika selalunya pada waktu rehat saya dan rakan-rakan banyak menghabiskan waktu di kantin, tetapi dengan adanya pondok bacaan ini, kami akan meluangkan lebih banyak masa untuk membaca," katanya.
No comments:
Post a Comment